Manifesto BN satu nilai tambah - MPN




PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) merupakan satu bentuk nilai tambah kepada rekod dan prestasi BN selaku pihak penyandang berbanding manifesto Pakatan Harapan yang hanya bersifat janji, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Beliau berkata manifesto BN mengandungi elemen korektif iaitu memperbetulkan beberapa aspek dan elemen preventif demi mengelakkan perkara yang negatif sebelum ini berulang.

Katanya manifesto BN dilihat lebih bertanggungjawab dan menyeluruh kepada kedudukan negara pada masa ini.

"Perkara yang dimuatkan dalam manifesto BN boleh diukur sama ada boleh dicapai atau sebaliknya serta tidak terlalu memuatkan (janji) 'bulan dan bintang'," katanya dalam sidang media mengenai manifesto BN bagi PRU14 di sini, hari ini.

Berhubung manifesto BN berkaitan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Raduan berkata BR1M dinikmati oleh segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan bukan hanya untuk penyokong BN semata-mata.



"Manifesto BN yang boleh dinikmati semua rakyat merupakan satu dokumen terperinci ke arah pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang dipersetujui oleh 13 parti komponen melalui kesefahaman yang tinggi dan semangat kerjasama yang sudah lama terjalin," katanya.

Ketika melancarkan Manifesto BN untuk PRU14 yang bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku´, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN mengumumkan habuan lebih besar kepada penerima BR1M.

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah, BR1M bulan Jun dan Ogos 2018 berjumlah RM400 digandakan kepada RM800, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000.

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, BR1M Jun dan Ogos berjumlah RM300 digandakan kepada RM600, bermakna jumlah keseluruhan meningkat daripada RM900 kepada RM1,500.

Bagi individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah yang telah terima BR1M RM450 pada bulan Februari, Najib berjanji akan memberi tambahan RM150 lagi pada bulan Jun menjadikan jumlah keseluruhan RM600.

Najib turut mengumumkan kategori baharu BR1M iaitu bagi isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, yang akan menerima BR1M RM700.

Manifesto BN itu turut memperuntukkan bantuan sekali beri atau ‘one-off´ sebanyak RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang berjaya mendaftar di pusat-pusat pengajian tinggi.

-- BERNAMA