Pakatan Harapan di Selangor akan dilanda krisis dengan tindakan Khairuddin sertai PKR





SHAH ALAM, 10 April (Bernama)-- Tindakan Mohd Khairuddin Othman, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, keluar daripada PAS dan menyertai PKR akan menimbulkan konflik dalaman kepada Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata jika Mohd Khairuddin dicalonkan semula di kerusi berkenaan, maka Parti Amanah Negara (Amanah) akan kehilangan kerusi tersebut.

"Ini bermakna calon Amanah yang bercita-cita untuk bertanding di situ (DUN Paya Jaras) akan kecewa dan krisis akan tercetus serta boleh merebak ke tempat-tempat lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyertaan Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha PAS Selangor ke dalam PKR diumumkan oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam ceramah Pakatan Harapan di Sungai Buloh pada malam Ahad (8 April).

Sebelum ini, pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mendedahkan bahawa kerusi Paya Jaras adalah antara sembilan kerusi DUN yang akan ditandingi Amanah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hasil rundingan agihan kerusi PH Selangor setakat 8 Mac lalu.

Sehingga kini, PH Selangor masih gagal memuktamadkan agihan kesemua 56 kerusi DUN dan perkara itu disahkan oleh Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PH Selangor, semalam.

Iskandar yang juga penyandang kerusi DUN Pandan Indah (Chempaka) berkata, kesan perpindahan Mohd Khairuddin ke parti lain adalah terhad kepada kawasan Paya Jaras sahaja dan ia tidak akan memberi kesan besar kepada PAS di kawasan-kawasan lain di Selangor.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa terdapat ADUN PAS Selangor lain yang akan mengikut jejak Mohd Khairuddin keluar parti, serta yakin tidak ada lagi ADUN parti itu yang akan 'menyeberang' ke PKR atau parti-parti lain.

ADUN-ADUN PAS Selangor sedang bersemangat untuk menghadapi PRU14 dan jentera PAS di kawasan-kawasan bergerak seperti biasa. Saya yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras, katanya.

Dalam pada itu, Iskandar berkata sebagai Naib Presiden parti yang ditugaskan untuk memantau Selangor, beliau akan meminta PAS Selangor mengemukakan satu laporan lengkap berhubung kemasukan Mohd Khairuddin ke dalam PKR.

Pada PRU13, Mohd Khairuddin menewaskan calon BN, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor dengan majoriti 5,522 undi.

-- BERNAMA