PAS Kelantan kemuka calon tempatan - Mohd Amar

KOTA BHARU, 10 April (Bernama) -- PAS Kelantan mengemukakan senarai calon anak tempatan untuk bertanding di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata bagaimanapun terserah kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan akhir termasuk meletakkan calon bukan anak tempatan untuk bertanding di negeri itu.
"Ikut pengalaman lepas calon luar akan dicadangkan oleh PAS Pusat. Bila dia (PAS Pusat) tengok ada keperluan, masa itu dia akan cadangkan (calon luar) dan ia dibincangkan antara pesuruhjaya (PAS negeri) dengan presiden," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Difahamkan PAS Kelantan akan mengumumkan senarai calonnya pada tarikh yang sama dengan pengumuman senarai calon oleh PAS Pusat yang dijangka pada 19 April.
Ditanya mengenai manifesto PAS Kelantan, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS, berkata ia kini di peringkat akhir penilaian dan akan diserahkan kepada pesuruhjaya negeri sebelum diumumkan.
Beliau berkata manifesto PAS Kelantan akan mempunyai beberapa perkara membabitkan pendidikan, masyarakat dan kebajikan dan selari dengan manifesto PAS Pusat.
-- BERNAMA