BN mungkin kekalkan Anyi Ngau bagi kerusi Parlimen Baram

MIRI, 10 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berkemungkinan mengekalkan Anyi Ngau, penyandang bagi kerusi Parlimen Baram, sebuah daripada kawasan pilihan raya terbesar di negara ini, dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata setakat ini, terdapat tanda-tanda yang kukuh bahawa Anyi akan dicalonkan semula buat kali kedua sebagai calon BN di Baram.
"Jika ada sebarang perubahan calon, saya rasa mereka (parti) mesti berunding dengan saya dahulu sebab kerusi DUN Marudi berpengaruh besar bagi kerusi Baram," kata Penguang, yang juga ADUN Marudi dan pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) bahagian Marudi, kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat jentera pilihan raya PDP Marudi bagi kerusi Baram di sini hari ini.
Penguang berkata kerusi parlimen Baram mempunyai sejumlah 35,400 pengundi berdaftar dengan terdapat 15,600 pengundi bagi kerusi DUN Marudi, diikuti Telang Usan (10,700) dan Mulu (9,100).
Mengenai persediaan bagi PRU14, beliau berkata parti itu yakin kerusi DUN Baram akan kekal sebagai kubu kuat BN berdasarkan keputusan pilihan raya negeri dan parlimen sebelum ini.
"Saya amat yakin berdasarkan perkembangan dan iklim politik terkini, kita boleh menang dengan majoriti besar dalam PRU14, sekurang-kurangnya majoriti 1,000 undi atau mungkin lebih banyak daripada itu oleh kerana kami tidak pernah kalah di Baram," katanya.
Beliau berkata kemenangan tipis BN dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berpunca daripada perubahan calon BN pada saat akhir dan masalah dalaman PDP, bagaimanapun, semua isu telah pun diselesaikan.
Dalam PRU13, Anyi yang ketika itu merupakan antara muka baharu yang bertanding, memenangi kerusi Baram setelah meraih majoriti tipis 194 undi mengalahkan calon PKR Roland Engan.
Beliau berkata kehadiran pengunjung yang amat ramai semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Marudi minggu lepas adalah di luar jangkaan dan ini memberi isyarat yang sangat baik bagi BN.
PRU14 hanya melibatkan 31 kerusi parlimen di negeri ini oleh kerana Sarawak telah pun mengadakan pilihan raya negeri bagi 82 kerusi DUN pada 2016.
-- BERNAMA