PRU14: Tanggungjawab majikan pastikan keselamatan pekerja





KUANTAN, 10 April (Bernama) -- Institusi yang terlibat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dinasihati mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan warga kerja mereka sepanjang tempoh itu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata ingatan itu turut merangkumi petugas media yang terdedah kepada pelbagai situasi termasuk yang boleh membahayakan keselamatan sewaktu membuat liputan.

"Pada tempoh pilihan raya memang akan berlaku situasi tidak diingini semasa mahu mendapatkan gambar atau berita... jika berlaku apa-apa insiden seperti dibaling batu atau sebagainya, pengamal media seharusnya tahu bagaimana mahu melindungi diri.

"Kita harap kejadian ini tidak tidak berlaku kerana masyarakat semakin matang, namun ia masih boleh berlaku akibat emosi pada pilihan raya. Majikan perlu mengambil berat keselamatan pekerja seperti menyediakan peralatan perlindungan diri yang sewajarnya," katanya.

Lee berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Pahang Mohd Raauf Jalil dan Setiausaha Eksekutif NIOSH Mejar (B) Hanif Maidin.

Lee berkata kewajipan majikan untuk menjamin keselamatan pekerja termaktub dalam Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 manakala bagi pihak media, panduan terdapat di laman web Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di bawah perkara garis panduan media profesional 2012.

Mengulas perkembangan lain, Lee mencadangkan supaya sekolah dan institusi pendidikan termasuk pusat tahfiz yang berusia lebih 15 tahun menjalani audit keselamatan setiap tahun bagi menjamin keselamatan pelajar.

Katanya audit keselamatan pula wajib dijadikan amalan bagi sekolah berusia lebih 30 tahun khususnya pada aspek pendawaian kerana penyelenggaraan yang tidak baik boleh mendatangkan risiko kebakaran.

"NIOSH bersedia membantu melaksanakan audit keselamatan namun perlu dilakukan dengan kebenaran Kementerian Pendidikan... perkara ini juga boleh dilakukan dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya.

"NIOSH juga bersedia memberikan khidmat rundingan kepada pihak sekolah dalam aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian tidak diingin daripada berlaku," katanya.

-- BERNAMA