BN Negeri Sembilan berusaha pastikan 80 peratus pemilih mengundi




SEREMBAN, 10 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan berusaha memastikan 80 peratus pemilih berdaftar di negeri itu akan keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU)14.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN negeri akan menyusun atur jentera pilihan rayanya bagi memastikan pemilih terutama yang bekerja di luar negeri ini untuk pulang mengundi berikutan hari pengundian yang ditetapkan pada 9 Mei merupakan hari bekerja.

"Saya pun tidak menjangkakan bahawa kita akan mengundi pada 9 Mei iaitu hari bekerja. Setahu saya cuma dua tiga kali sahaja sejak pilihan raya umum pertama dalam negara kita di mana pilihan raya dibuat pada hari bekerja, selalunya di hujung minggu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar di Sungai Gadut, dekat sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei dan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

-- BERNAMA