MAB, FlyFirefly, MASwings kecualikan caj penukaran penerbangan sempena hari pengundian




KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan syarikat sekutunya, FlyFirefly Sdn Bhd dan MASwings Sdn Bhd, mengecualikan caj penukaran penerbangan mereka untuk rakyat Malaysia dengan tempahan sedia ada sempena Pilihan Raya Umum Ke-14.

Syarikat penerbangan itu berkata tawaran tersebut bertujuan membolehkan rakyat Malaysia memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada 9 Mei, 2018.

"Pengecualian itu terpakai bagi semua jenis tiket, dan tarikh perjalanan jatuh antara 8 dan 10 Mei sama ada masuk atau keluar. Hanya satu penukaran dibenarkan dan ia perlu dilakukan dalam masa 10 hari mulai hari ini," katanya.

MAB berkata penumpang dibenarkan untuk menangguhkan tarikh perjalanan mereka sehingga tempoh dua bulan dari tarikh asal perjalanan.

-- BERNAMA