Pengamal media beriadah seketika sebelum PRU14

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman (kiri) melakukan balingan simbolik perasmian Kejohanan Boling sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Pusat Boling Endah Parade hari ini. Turut sama Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh (dua, kiri) dan Eksekutif Editor Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamarulzzaman (tiga, kiri).
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kesibukan petugas media dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak menghalang mereka untuk merehatkan minda seketika dengan menyertai Kejohanan Boling yang diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018.
Bertempat di Megalanes Endah Parade di sini, kira-kira 100 anggota media bersama kumpulan masing-masing tiba seawal 1 tengah hari untuk turut serta dalam kejohanan tersebut yang bermula pada 2.30 petang, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Media Prima Bhd, Harian Metro dan Jabatan Penerangan Malaysia.
Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata tujuan kejohanan diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan sesama media di samping melakukan aktiviti santai meskipun jadual yang padat.
"Dalam menghadapi PRU14 pula diharapkan semua petugas media mengekalkan momentum positif, mengamalkan amalan kewartawanan yang baik dan tidak menimbulkan sebarang isu sensitif," katanya.
Dalam kejohanan itu, pasukan TV3 muncul juara dengan 1,539 jatuhan pin dan membawa pulang wang tunai RM1,500 serta piala pusingan yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain.
Pasukan Strive Force dan Hero Malaya dari Bernama pula di tempat kedua dan ketiga, masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM 1,200 dan RM900 berserta pingat.
Hawana yang disambut buat julung kalinya 11 April ini adalah bagi meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta meletakkan mereka di tempat sewajarnya sebagai tonggak keempat dalam amalan demokrasi seperti di kebanyakan negara lain.
Bertemakan 'Wartawan Membela Bangsa, Membina Negara', Hawana dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Pameran dan Konvensyen Matrade.
Bernama dengan kerjasama organisasi media Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk menganjurkan sambutan Hawana bagi mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara.
-- BERNAMA