Kerajaan BN terus perkasakan bidang pertanian, pembelaan kepada petani




Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua, kiri) memerhatikan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia Hamzah Bahari (tiga, kiri) menyampaikan replika cek kepada Penerima Geran Program Tabung Pembangunan Usahawan Kortani, Norhayati Mamat (kanan) pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Dan Ramah Mesra PPK Chetok di Pertubuhan Peladang Kawasan Chetok hari ini.

PASIR MAS, 10 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus memperkasa bidang pertanian bagi memastikan bekalan makanan untuk rakyat sentiasa mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus memastikan pembelaan diberikan kepada golongan petani, nelayan dan penternak dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.

"Hanya kerajaan BN dapat meningkatkan lagi keupayaan dalam bidang pertanian dan menyediakan makanan mencukupi kepada rakyat. Ini semuanya sudah kita (kerajaan) lakukan cuma kita mahu pertingkatkan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Peladang Chetok di Pertubuhan Peladang Kawasan Chetok di sini hari ini.

Beliau berkata komitmen kerajaan itu terkandung dalam manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertemakan 'Bersama BN, Hebatkan Negaraku', yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Ahmad Shabery berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pan Borneo, adalah antara infrastruktur yang akan turut melonjakkan sektor pertanian termasuk pemasaran hasil pertanian.

Sementara itu, mengenai tarikh pengundian PRU14 yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Mei yang jatuh pada hari bekerja, Ahmad Shabery berkata hari pengundian pada pilihan raya umum di negara ini bukan kali pertama diadakan pada hari bekerja.

"Dalam sejarah pilihan raya di negara kita pernah beberapa kali diadakan pada hari bekerja...bukan pada cuti hujung minggu. Di Amerika Syarikat hari mengundi tidak dibuat pada hari cuti umum dan mereka menggalakkan pengundi keluar awal untuk mengundi dan kembali semula bekerja, satu masa nanti ia akan mendidik pengundi untuk mengundi di tempat mereka bekerja," katanya.

SPR hari ini turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

Sejurus pengumuman itu dibuat, rata-rata paparan di media sosial memuat naik rungutan kerana 9 Mei jatuh pada hari bekerja dan akan menyukarkan pengundi yang perlu pulang ke kampung untuk mengundi.

-- BERNAMA