Pengundian pada hari bekerja bukan luar biasa - KM Melaka

Datuk Seri Idris Haron (Gambar fail Bernama)
MELAKA, 10 April (Bernama) -- Hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang ditetapkan pada 9 Mei depan dan merupakan hari bekerja bukan merupakan perkara luar biasa kerana pernah berlaku sebelum ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pastinya mengambil kira pelbagai faktor dalam menentukan hari pengundian sama ada pada hari bekerja ataupun hujung minggu.
"Tiada kelainan (perkara luar biasa) memandangkan dulu pun kita pernah mengundi pada hari bekerja. Selain itu, SPR telah mengendalikan banyak pilihan raya kecil di seluruh negara dan PRU buat kali ke-14."
"Alhamdulillah, SPR juga telah melakukan gerak kerja secara teratur dengan memperuntukkan tempoh berkempen selama 11 hari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Murabbi peringkat negeri 1439H/2018M di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka Datuk Yaakub Md Amin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Roslan Ibrahim.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hari ini mengumumkan tarikh pengundian pada 9 Mei dan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.
Dalam pada itu, Idris yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, berkata jentera BN negeri akan berusaha keras untuk memastikan BN akan terus mendapat mandat mentadbir negeri dan negara selepas PRU14.
Katanya manifesto BN Melaka bertemakan 'Bersama Mencipta Kegemilangan' dijadual dilancarkan pada Jumaat ini.
-- BERNAMA