Mengundi pada hari bekerja bukan gambaran kehadiran pengundi





SHAH ALAM, 10 April (Bernama) -- Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei iaitu hari bekerja sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak boleh menggambarkan peratusan tinggi atau rendah rakyat Malaysia yang keluar mengundi.

Ketua UMNO Bahagian Klang Datuk Nasarrudin M. Zin berkata sekiranya dibuat pada hari cuti pun tak semestinya rakyat akan keluar mengundi di kawasan masing-masing sebab ada juga pengundi pada waktu itu tengah bercuti.

"Jumlah ramai atau kurang orang mengundi tidak bergantung kepada hari kerana ia sudah menjadi tanggungjawab rakyat untuk keluar mengundi pada hari yang telah ditetapkan. Tarikh undi ini ada pro dan kontra," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

SPR hari ini mengumumkan 9 Mei iaitu hari Rabu sebagai hari mengundi dan 28 April sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei pula tarikh pengundian awal.

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 11 hari bermula pada hari penamaan calon.

Nasaruddin berkata penetapan tarikh pengundian pada hari bekerja juga bukan satu perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan sejak pilihan raya umum pertama lagi.

"Mengikut rekod sejarah PRU di Malaysia, pada PRU pertama iaitu 19 Ogos 1959, hari mengundi juga jatuh pada hari Rabu, begitu juga PRU keenam (1982) dan ke-10 (1999) yang masing-masing diadakan pada hari Khamis dan Selasa."

"Begitu juga pada PRU ke-7, 8, 10, 11 dan 13 yang diadakan pada hari Ahad yang merupakan hari bekerja bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah?jadi ia bukan satu perkara asing," katanya.

Mengulas mengenai tempoh berkempen pula, beliau berkata tempoh 11 hari adalah cukup bagi setiap calon yang bertanding untuk turun padang berkempen.

Katanya setiap pemimpin dan anggota parti di kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun diberi tempoh hampir lima tahun untuk turun padang bertemu rakyat selepas tamat PRU ke-13.

-- BERNAMA