Berhenti minta kerusi - Dr Subramaniam





KUALA LUMPUR,10 April (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini menggesa pemimpin dan anggota parti itu berhenti mengeluarkan kenyataan media meminta kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 ini.

Beliau berkata MIC hanya akan mencalonkan mereka yang berpeluang tinggi untuk menang pada pilihan raya itu dan penilaian boleh menang tersebut akan dibuat menggunakan beberapa kaedah termasuk maklum balas akar umbi, pusat penilaian, maklum balas pusat operasi Barisan Nasional (BN) dan lain-lain.

Calon yang peluang menangnya rendah mungkin akan digantikan dengan mereka yang mempunyai peluang lebih baik, katanya dalam kenyataan, di sini.

"Matlamat parti pada akhirnya ialah untuk menang sebanyak mungkin kerusi."

"Saya harap calon berpotensi dan pemimpin sedar akan perkara ini. Walaupun setiap individu itu penting, parti jauh lebih penting. Bagi memastikan perjuangan politik MIC berterusan, amat penting untuk ia mencatat keputusan baik pada pilihan raya ini," katanya.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, turut memberi amaran bahawa mereka yang mencabar keputusan kepimpinan parti berhubung calon akan berdepan tindakan tegas.

"Sebarang cubaan untuk untuk mensabotaj kempen pilihan raya oleh anggota parti akan ditangani dengan tegas. Dewan Tertinggi BN telah memutuskan parti komponen harus memecat atau menggantung keanggotaan mereka yang berbuat demikian," katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramanian mengakui bukan mudah untuk menguruskan pilihan raya dan ketika berdepan dengan 'peperangan', kesediaan untuk bekerjasama dan perpaduan dalam kalangan anggota parti amat penting.

"Jika kita bersatu dan menggembleng sumber kita, kita boleh mencapai kejayaan cemerlang. Bersedialah untuk satu 'pertempuran' yang hebat," katanya.

-- BERNAMA