AXA tawar fleksibiliti perjalanan sempena PRU14
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) menawarkan penukaran tarikh atau pembatalan dengan pembayaran balik sepenuhnya kepada pelanggan polisi insurans perjalanan AXA sempena Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AAGI Emmanuel Nivet berkata perubahan itu layak bagi pelanggan yang menempah AXA Smart Traveller dan AXA Smart Traveller Easy.
"Kami faham tarikh mengundi mungkin bertembung dengan rancangan perjalanan pelanggan yang kami hargai dan kami ingin menyesuaikan dengan keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Insurans perjalanan AXA adalah polisi lengkap dan menyeluruh yang direka mengikut keperluan pengembara dengan pengaktifan segera, perlindungan menyeluruh dan penyediaan bantuan kecemasan 24 jam di mana sahaja mereka berada.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi pusat khidmat pelanggan di talian 03- 2170 8282 atau melalui e-mel kepada customer.service@axa.com.my.
-- BERNAMA