PRU14: bendera BN dirosakkan, Pemuda UMNO buat laporan ;polis





KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pemuda UMNO Bukit Bintang malam ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki yang mencabut dan merosakkan bendera Barisan Nasional (BN) yang dipercayai berlaku di kawasan persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad dan Jalan Tun Sambathan 4, di sini.

Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Jefree Zain Affendi Dan Yunan berharap polis segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Beliau turut mendakwa tindakan itu satu perbuatan khianat dan provokasi yang boleh menimbulkan suasana tegang.

"Saya berharap perkara ini tidak berulang dan PRU (Pilihan Raya Umum) kali ini, kita dapat bertanding secara sihat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

Laporan polis dibuat susulan video berdurasi 15 saat yang mula tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki mencabut dan merosakkan bendera BN yang dipasang di tepi jalan.

-- BERNAMA