UMNO masih pilihan rakyat di Kepala Batas - Reezal Merican
KEPALA BATAS, 11 April (Bernama) -- UMNO Pulau Pinang yakin Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berdasarkan kepada 'DNA Pak Lah' (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang menjadi kekuatan sehingga kini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pembangunan yang telah dibawa oleh bekas perdana menteri itu diteruskan sehingga kini dan 'DNA Pak Lah' menjadi tradisi UMNO Kepala Batas untuk membela rakyat di kawasan berkenaan.
"Kalau kita pandang depan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah tak ada satu pun yang tidak ada kaitan dengan Tun Abdullah. Pembangunan yang dibawa macam-macam. Jadi, ini adalah benda yang sebenarnya menjadi kekuatan dan suntikan kepada UMNO Kepala Batas.
"Saya ni lebih bertanggungjawab untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh beliau. Alhamdulillah saya dapat laksanakannya dalam tempoh lima tahun ini sebagai Anggota Parlimen Kepala Batas. Dalam tempoh lima tahun, tiga masjid dan lima sekolah agama dibina di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa ribut, di sini hari ini.
Beliau berkata sudah menjadi amalan UMNO Kepala Batas untuk melakukan sesuatu perkara secara istiqamah dengan mendekati dan mendengar masalah rakyat di kawasan itu.
"Kami ni dari dulu buat tradisi apa yang diajar Pak Lah, tak berapa gemar mendabik dada. Tradisi kita buat benda secara istiqamah. Jumpa orang di bawah, pastikan bila mana mereka memerlukan pemerhatian dan pembelaan kita akan ada di sana.
"Macam saya sebut dulu, kita bukan sentuh dan pergi (touch and go) tetapi kita pergi dan sentuh. Dampingan dan sentuhan kepada rakyat menjadi kelaziman kepada mana-mana wakil rakyat, tradisi yang dibawa dari dulu," katanya.
Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata slogan 'Kepala Batas Dihatiku' yang digunakan sebagai kempen pilihan raya adalah sebagai terjemahan kepada perhubungan yang baik antara UMNO Kepala Batas dengan rakyat di kawasan itu.
"Selagi kita diikat hubungan ini dan diletaknya di hati kita, selagi itulah kita tidak akan lari dalam melaksanakan apa yang dikehendaki oleh orang tempatan...selagi itulah saya yakin kita akan tetap dipilih sebagai pilihan terbaik mewakili hasrat, citra dan amanah rakyat Kepala Batas," katanya.
Pada pilihan raya umum ke-13, Reezal Merican mendapat majoriti 4,176 undi dalam pertandingan satu lawan satu mengalahkan calon PAS Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden.
Ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu turut dikuasai oleh BN iaitu Datuk Mohd Zain Ahmad yang mendapat majoriti 1,662 undi di DUN Penaga, DUN Bertam Shariful Azhar Othman (1,642) dan DUN Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin (1,587).
-- BERNAMA