Kemudahan mesra OKU PRU14 selesa, telus




Oleh Rosmalis Anuar dan Nur Syuhada Shamsuddin

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di pusat mengundi bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada golongan itu dalam menunaikan hak sebagai rakyat Malaysia, malah menggalakkan mereka untuk keluar mengundi pada bulan depan.

Mengambil kira keperluan golongan itu dan saranan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Damai Orang Kurang Upaya Malaysia (Damai), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan prosedur dan menyediakan pelbagai kemudahan bagi memudahkan pemilih OKU mengundi dengan lancar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR) Hasanul Isyraf Naim berkata di premis pusat mengundi yang bertingkat, SPR membenarkan pengundi OKU terutamanya berkerusi roda yang disenaraikan di saluran tingkat atas untuk menumpang saluran mengundi di aras bawah premis.

Katanya proses menumpang tempat mengundi perlu mendapat kebenaran daripada ketua tempat mengundi (KTM) sebelum dilaksanakan dan terdapat 10 langkah yang perlu diikuti termasuklah menjalankan pengesahan maklumat pengundi dan pengisian Borang 11 iaitu borang akuan oleh pengundi.

"Kesemua proses tersebut juga akan diperhatikan oleh ejen tempat mengundi (wakil calon atau parti) di kedua-dua saluran terlibat bagi memastikan proses pengundian dijalankan secara telus," katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya, baru-baru ini.

Hasanul Isyraf berkata ejen tempat mengundi juga perlu menandatangani Borang SPR 765 bagi mengesahkan proses tersebut telah dijalankan dengan sempurna dan sentiasa dalam kawalan.

Bagaimanapun katanya oleh kerana prosedur itu agak rumit, kebanyakan KTM lebih cenderung meminta petugas pilihan raya untuk mengangkat pengundi OKU terbabit ke saluran di tingkat atas.

Selain itu, kemudahan lain yang disediakan termasuk tanjakan (laluan OKU) bagi memudahkan pergerakan mereka di pusat mengundi.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan media sebelum ini berkata beberapa kemudahan bagi pengundi OKU antaranya membenarkan anggota keluarga atau orang dipercayai untuk menemani mereka semasa pengundian.

Kemudahan kerusi roda turut disediakan untuk pemilih OKU atau uzur selain sentiasa memberi keutamaan kepada mereka di pusat-pusat mengundi.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga 28 Mac lepas yang disiarkan dalam Portal Data Terbuka Malaysia (data.gov.my) menunjukkan terdapat 17,282 OKU berdaftar bawah kategori fizikal di negara ini.

Semalam, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.

Pemilih berdaftar boleh membuat semakan menerusi empat cara iaitu menggunakan aplikasi pintar MySPR Semak; portal rasmi SPR www.spr.gov.my; SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR no. kad pengenalan atau menghubungi talian SPR 03-88927018.

Marilah rakyat Malaysia jayakan tanggungjawab anda dalam proses demokrasi negara pada PRU14.

#jomkitasemak #jomkitaundi #undiandapenentumasadepannegara

-- BERNAMA