BN Kedah lancar manifesto negeri minggu hadapan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penerima pada Program Muafakat Mesra Rakyat di DUN Jitra di Taman Kejiranan Taman Bersatu, Kemunting hari ini.
JITRA, 11 April (Bernama) -- Barisan Nasional BN) Kedah akan melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) negeri pada minggu hadapan, iaitu sebelum hari penamaan calon pada 28 April ini bagi melengkapi manifesto BN yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tanpa memberitahu tarikh, Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, majlis pelancaran manifesto itu akan diadakan secara besar-besaran di sini dan dijangka dihadiri ribuan anggota BN negeri.
Difahamkan, ia akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim Mu´adzam, Jalan Suka Menanti.
"Manakala bagi calon, kita tunggu perdana menteri buat keputusan dan mungkin beliau sendiri akan buat pengumuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Muafakat Bersama Rakyat Jitra di sini, hari ini.
Sebelum ini Ahmad Bashah berkata BN negeri telah menghantar lebih 50 nama yang telah disenarai pendek sebagai calon kepada perdana menteri bagi 15 parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Kesemua senarai calon terbabit juga perlu melepasi saringan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan mereka yang dipilih sebagai calon bersih daripada sebarang jenayah.
Sementara itu, menjawab soalan berhubung desas-desus Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di Langkawi, beliau berkata ia terpulang kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk bertanding di mana kerana BN juga akan turut mengumumkan calon tersendiri.
"Dia (Dr Mahathir) bebas hendak bertanding di mana tetapi masyarakat di Kubang Pasu kena fikir kenapa Tun Mahathir yang lebih 22 tahun berkhidmat di Kubang Pasu hendak bertanding di Langkawi. Nampak dia tidak yakin dengan masyarakat di Kubang Pasu sebenarnya.
"Tapi kalau dia atau parti pembangkang lain yang hendak bertanding di mana pun kita tidak gentar. Kita telah bersedia dan yang mana hendak bertanding ini semuanya besar dan 'giant killer' dan kita tidak pernah anggap mereka kecil," katanya.
--BERNAMA