Fikir masak-masak, usah terperdaya janji manis pembangkang - Raymond




Oleh Nashir Mansor

KOTA KINABALU, 11 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah meminta pengundi khususnya kaum Cina untuk fikir semasak-masaknya dan tidak membiarkan diri mereka terperdaya sehingga membuat kesilapan dengan memilih calon pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata sepertimana pada PRU lepas, pembangkang sekali lagi menawarkan bermacam-macam janji manis sehinggakan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui bimbang segala janji berkenaan tidak dapat direalisasikan.

"Dan sinilah rakyat perlu berfikir ... pengundi perlu membuat keputusan sama ada untuk memilih parti (Barisan Nasional) yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau parti (pembangkang) yang menjanjikan sesuatu yang belum pasti. " katanya.

Dalam hal ini, Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya sedangkan janji pembangkang hanya tinggal janji, kata Raymond yang juga naib presiden Gerakan kepada Bernama.

Berhubung persiapan Gerakan untuk menghadapi PRU14, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat itu berkata, parti itu memberikan perkhidmatannya kepada rakyat secara konsisten.

Katanya BN dan Gerakan bukanlah parti yang cuma bekerja selepas Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan sebaliknya sentiasa berkhidmat untuk membantu rakyat tanpa mengira masa.

Beliau berharap rakyat di kawasan diwakilinya dan DUN Elopura yang juga diwakili Gerakan membalas perkhidmatan wakil rakyat mereka dengan memilih semula calon BN bukan sahaja di kedua-dua DUN berkenaan tetapi juga kawasan Parlimen Sandakan.

"Terlalu banyak program dan bantuan telah diberikan (BN) kepada rakyat. Pernah saya buat bancian dalam kampung. Saya tanya seorang penduduk, "mak cik ada terima bantuan daripada kerajaan?. Mak cik tu jawab, bantuan yang mana satu Datuk?.

"Saya terpaksa keluarkan senarai bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan dan tunjukkan mak cik itu untuk dia kenal pasti mana bantuan telah diterimanya dan mana yang belum (untuk membantunya mendapatkan bantuan itu) ," katanya.

Raymond juga yakin, berdasarkan khidmat yang telah dicurahkan, partinya akan memperoleh sokongan antara 35 hingga 40 peratus pengundi kaum Cina pada PRU14 akan datang iaitu lebih tinggi berbanding peratusan pada PRU13.

-- BERNAMA