Kerajaan BN sentiasa prihatin nasib OKU
KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dengan isu pembangunan modal insan termasuk kemaslahatan warga Orang Kurang Upaya (OKU), kata Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata dalam merangka dasar pembangunan negara, kerajaan mengambil pendekatan yang inklusif dan tidak sekali-kali menyisihkan golongan istimewa itu.
"Malah kerajaan mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara merentasi pelbagai bidang. Ini terbukti dengan peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosio ekonomi golongan OKU dalam tempoh sedekad ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada Golongan OKU di Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Kelantan (Penawar) Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah.
Pada majlis anjuran Program Semai Bakti dan Penawar itu, Rosmah menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 600 anak-anak kurang upaya daripada 44 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kelantan selain menyempurnakan pelancaran buku Panduan Lawatan Ke Rumah Anak Istimewa.
Rosmah turut menyerahkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM10,000 untuk diagihkan oleh Penawar kepada anak kurang upaya PDK yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri ini.
Katanya aspek pembelaan golongan OKU negara ini terus diperkukuh melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) selain peruntukan bantuan kerajaan sebanyak RM100 juta menerusi Bajet 2018 serta potongan cukai tambahan kepada majikan yang menggaji OKU.
"Jelas di bawah kerajaan BN bukan sahaja hak OKU dipertahankan malah pelbagai inisiatif sentiasa dibangunkan demi memperkasa golongan istimewa ini," katanya.
Melalui program Semai Bakti, Rosmah berkata pihaknya tidak pernah ketinggalan menganjurkan program tradisinya setiap tahun iaitu memberi baju dan duit raya kepada anak-anak istimewa di semua negeri.
Katanya walaupun sumbangan tersebut tidak seberapa, diharapkan ia mampu memberi sinar kebahagiaan kepada anak-anak istimewa untuk menyambut Hari Raya.
Sementara itu, Rosmah turut menyampaikan sumbangan Bakti kepada 20 pelajar OKU Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, bagi membantu pelajar terbabit menyambut Aidilfitri tahun ini.
-- BERNAMA