Manifesto BN dekati golongan muda - Chong




NILAI, 11 April (Bernama) -- Lapan jaminan untuk orang muda yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan omong kosong tetapi dihasilkan selepas berbincang dengan orang muda, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata jaminan yang dijanjikan menerusi manifesto Pemuda BN itu diyakini dapat menyelesaikan isu orang muda.

"Suara orang muda akar umbi dikutip, dikumpul dan diteliti untuk dijadikan satu dasar yang menguntungkan mereka serta negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya manifesto itu juga adalah hasil dapatan suara aspirasi orang muda melalui agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berjaya dilaksanakan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Manifesto Khas BN Untuk Orang Muda bertemakan 'Jaminan Orang Muda: Bersama Kita Hebatkan Orang Muda' dilancarkan oleh Khairy di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, malam tadi.

-- BERNAMA