Manifesto pakatan harapan Perak kitar semula, tiada pembaharuan - Zambry




Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua, kanan) menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada Batin Kampung Langkor Kuala Kangsar, Yaakob Alang (kiri) pada Majlis Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Orang Asli di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. Turut hadir Senator Orang Asli Semenanjung Senator Datuk Isa Ab Hamid (kanan)

IPOH, 11 April (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan manifesto Pakatan Harapan Perak hanya bersifat kitar semula selain tiada pembaharuan yang dibawa khusus untuk kemajuan negeri dan rakyat.

Beliau berkata tiada sebarang polisi, dasar dan perancangan baharu ditawarkan kepada rakyat melainkan tuduhan liar yang sengaja diutarakan untuk memburukkan kreadibiliti kerajaan negeri pimpinan BN.

"Antara hujah mereka ialah Perak negeri kedua atau termiskin. Diulang-ulang walaupun telah disanggah dan dijawab bukan sahaja oleh saya tetapi pakar-pakar ekonomi negara.

"Sewajarnya manifesto itu diterangkan pada rakyat tentang dasar-dasar, polisi-polisi dan perancangan masa depan untuk Perak dan apa yang mereka boleh kemukakan kepada rakyat Perak sebagai alternatif," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Pemimpin-pemimpin Masyarakat Orang Asli, di sini hari ini.

Semalam, Pakatan Harapan Perak melancarkan manifesto gabungan tersebut yang merangkumi lima teras utama meliputi 31 janji sekiranya berjaya mentadbir kerajaan negeri.

Lima teras berkenaan melibatkan aspek kebajikan dan ekonomi rakyat; amanah dan integriti; keadilan sosial dan demokrasi; budaya ilmu dan penyelidikan serta alam sekitar dan komuniti.

Mengulas lanjut, Zambry yakin rakyat di Perak tidak akan terpengaruh dengan hujah dan janji manis manifesto yang ditawarkan oleh pembangkang.

Mengulas mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad lalu, Zambry berkata ia berhubung senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Katanya BN Perak telah mempunyai senarainya namun masih belum dimuktamadkan.

"Perbincangan pada tahap ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa dengan melibatkan presiden dan pimpinan utama parti, " katanya.

-- BERNAMA