Tabika dan taska kemas terima RM700 juta peruntukan tahun Ini
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Permata KEMAS menerima peruntukan besar setiap tahun termasuk sebanyak RM700 juta pada Bajet 2018 bagi menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan perkhidmatan itu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan itu bagi menampung kos pembangunan pendidikan awal kanak-kanak pra sekolah yang berumur empat hingga enam tahun.
Kos itu antaranya meliputi gaji dan sara hidup, perbelanjaan perjalanan. penyelenggaraan dan pembaikan bangunan serta bantuan makanan tambahan, katanya ketika merasmikan Tabika Transit Kemas Bukit Aman di sini hari ini.
Menurutnya pada masa ini terdapat 11,119 buah Tabika KEMAS dengan kira-kira 220,000 kanak-kanak dan 505 buah kelas Taska Permata dengan 9,276 kanak-kanak di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu terdapat sebanyak 249 buah Tabika KEMAS di kuarters polis dengan 5,285 kanak-kanak, 223 buah di kem tentera (4,343 kanak-kanak), 37 buah di kuarters penjara (747 kanak-kanak)," katanya.
Ismail Sabri berkata kementeriannya juga telah melaksanakan Program Transformasi Tabika KEMAS pada 2016 yang bertujuan untuk mempertingkatkan keberhasilan kanak-kanak dengan memberi fokus kepada nilai tambah silibus pembelajaran dan penyediaan infrastruktur asas serta baikpulih tabika KEMAS.
"Melalui transformasi ini, kanak-kanak seawal usia empat tahun bukan sahaja diterapkan dengan nilai-nilai murni yang teguh malah disemai semangat jati diri yang kukuh serta daya keyakinan yang tinggi namun penuh adab dalam diri mereka," katanya.
Beliau berkata KEMAS juga telah melaksanakan 27 projek rintis Tabika Transit Kemas di seluruh negara bermula Januari lalu.
"Sehingga Mac 2018, sebanyak 18 buah kelas transit diwujudkan di kawasan bandar, enam buah di pinggir bandar dan tiga buah di luar bandar dengan jumlah keseluruhan kanak-kanak terlibat adalah seramai 327 orang," katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tabika transit itu memberi banyak manfaat kepada ibu bapa yang bekerja apabila mereka tidak perlu khuatir mengenai keselamatan dan keselesaan anak-anak mereka sepanjang berada di pusat asuhan.
Beliau juga menghargai dan berterima kasih terhadap kementerian itu kerana mewujudkan Tabika Transit Kemas di ibu pejabat polis di Bukit Aman yang memberi manfaat kepada 60 orang kanak-kanak buat masa ini.
Operasi Tabika Transit Kemas bermula dari pukul 1 petang hinggga 5.30 petang dengan kadar bayaran antara RM100 sehingga RM250 sebulan.
-- BERNAMA