Tindakan terhadap pihak gugat ketenteraman awam pada PRU14
BAGAN SERAI, 11 April (Bernama) -- Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menggugat keselamatan dan ketenteraman awam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata langkah itu perlu kerana unsur yang boleh menggugat amalam demokrasi termasuk emosi, agresif dan taksub yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Kita akan bertindak mengikut peruntukan yang ada dalam Akta Pilihanraya 1958 dan akta polis bagi memastikan amalan demokrasi dipatuhi semasa mengundi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan 9 Mei iaitu hari Rabu sebagai hari mengundi dan 28 April sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei pula tarikh pengundian awal.
Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 11 hari bermula pada hari penamaan calon.
Mengenai kadar jenayah di daerah Kerian, Omar Bakhtiar berkata 43 kes jenayah direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 40 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, sebanyak 50 peratus daripada kes itu telah berjaya diselesaikan di mana penjenayah telah dituduh di mahkamah.
Sementara itu, beliau berkata Ketua Polis Negara Mohamed Fuzi Harun akan menghadiri perjumpaan dengan orang ramai di Dewan Kerian Permai di Parit Buntar, Jumaat ini serta melawat Pasar Awam Parit Buntar sempena lawatan pertamanya ke daerah itu.
Omar Bakhtiar berkata sebanyak 14 gerai pameran disediakan yang membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bomba, Kesihatan dan beberapa agensi lain.
"Selain itu, ada pertunjukan payung terjun oleh Komando 69, persembahan pancaragam PDRM, persembahan seni perang oleh Batalion 3 Senoi Praaq dan unit berkuda PDRM serta senamrobik yang mampu menarik perhatian orang ramai untuk menonton," katanya.
Katanya, penduduk di daerah Kerian dijemput hadir bagi meriahkan program itu yang bermula pukul 7.30 pagi.
-- BERNAMA