Najib tiup semangat buat UMNO Kelantan - Annuar Musa




KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak memberi semangat kepada Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan jentera di peringkat akar umbi agar menggandakan usaha dalam memenangi hati pengundi.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata Najib mahu UMNO Kelantan memastikan pengundi sama ada yang tinggal di dalam atau luar negeri untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Beliau juga mahu anggota parti tidak bersikap sambil lewa dan sentiasa bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di Kelantan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Najib mengadakan perjumpaan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO negeri di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini.

Annuar berkata Najib bagaimanapun tidak menyentuh mengenai soal calon dan ini akan dimaklumkan kemudian.

"Kita sudah serahkan urusan calon kepada beliau untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Perjumpaan itu berlangsung kira-kira 30 minit sebelum Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Kelantan.

-- BERNAMA