PRU14: 14,000 anggota APM akan bertugas di seluruh negara




KUALA TERENGGANU, 12 April (Bernama) -- Seramai 14,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara akan bertugas sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berlangsung iaitu semasa hari penamaan calon, pengundian dan pengumuman keputusan.

Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral Datuk Azmy Yahya berkata anggota pasukan perubatan juga akan ditempatkan di lokasi untuk memudahkan rawatan kecemasan awal diberi kepada mana-mana individu yang memerlukan.

"Selain pasukan perubatan, pasukan pengawal keselamatan pula akan bersiap siaga mengawal keadaan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota APM Terengganu, Mohamad Haiqal Ahmad Tarmizi yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Mohamad Haiqal dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu sejak 20 Mac lepas akibat kemalangan ketika bertugas di daerah Besut.

Azmy turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Tabung Angkatan Pertahanan Awam (TAPA) kepada Mohamad Haiqal sebagai menghargai komitmen tingginya dalam menjalankan tugas selama ini.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata seramai 700 anggota akan bertugas di negeri ini pada PRU14 yang akan ditempatkan di lapan kawasan Parlimen dengan tumpuan diberi di kawasan panas yang dikenal pasti.

-- BERNAMA