ATM kekal bersama, menyokong kerajaan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein percaya anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak tertekan dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dan kekal bersama kerajaan yang banyak membela mereka selama ini.
Katanya kerajaan dan ATM membuat pelbagai perancangan untuk anggota pasukan itu dan usaha terbabit tidak harus diperlekeh.
Malah kata Hishammuddin beliau percaya anggota dan veteran ATM sekarang lebih berkeyakinan terhadap usaha yang diambil kerajaan dalam membantu mereka.
"Mungkin ada kelemahan yang perlu ditangani, tetapi orang yang nak cuba eksploitasi keadaan, menuding jadi dan memperlekeh apa yang kita lakukan selama ini memang mudah,? katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Ikrar Kementerian Pertahanan: Perteguh Negaraku, di sini hari ini.
Majlis itu adalah ikrar seluruh warga Kementerian Pertahanan bagi menyokong inisiatif yang direncanakan berpandukan enam teras hala tuju kementerian tersebut.
Beliau berkata ikrar yang menekankan enam teras utama iaitu kebajikan, perubahan, kesiapsiagaan, diplomasi, keselamatan dan khidmat negara membuktikan kerajaan mempunyai perancangan jelas bagi ATM pada masa akan datang.
Mengulas tentang isu yang dibangkitkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tanah ATM, Hishammuddin berkata Ketua Setiausaha (KSU) Kementeriannya Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
"Kita akan jawab dengan fakta, kita tidak ada benda nak sembunyi, KSU dan PAT akan buat kenyataan dan semalam pun saya dah jawab," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sabtu lalu, Rafidah menerusi 'Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak' yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, mendakwa perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.
Semalam, ketika ditemui media di Sungai Besi, Hishammuddin menegaskan tuduhan penswastaan tanah ATM itu adalah tidak berasas malah tanpa fakta.
-- BERNAMA