Persediaan urus PRU14 di P125 berjalan lancar

PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) -- Persediaan akhir bagi perjalanan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Parlimen Putrajaya (P125) giat dilaksanakan bermula semalam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRU14 pada Selasa.
Tinjauan Bernama di pejabat pegawai pengurus pilihan raya di Kompleks Kejiranan Presint 9 di sini, mendapati petugas pilihan raya sedang sibuk membuat persiapan termasuk menampal notis-notis penting dan peta Parlimen Putrajaya serta mengumpul peralatan yang perlu bagi menghadapi hari pengundian itu nanti.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya Datuk Azizi Ahmad Termizi berkata latihan kepada petugas pilihan raya telah dijalankan sejak tahun lepas.
"Tahun ini ada pertambahan lebih 30 petugas baharu memandangkan terdapat pertambahan tiga pusat mengundi di parlimen ini. Persediaan kita hampir seratus peratus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagi PRU14, kawasan P125 mempunyai tujuh pusat mengundi dan 44 saluran, melibatkan 332 petugas pilihan raya.
Azizi berharap kesemua 27,306 pemilih berdaftar di Putrajaya akan keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing kerana peluang itu hanya muncul lima tahun sekali.
SPR telah menetapkan tarikh pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, penamaan calon pada 28 April dan 5 Mei untuk pengundian awal.
Pada PRU13, kerusi Parlimen Putrajaya disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional, menewaskan Husam Musa daripada PAS dengan majoriti 5,541 undi.
-- BERNAMA