PRU14: Tiada calon payung terjun - Md Jais

KLUANG, 12 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Johor akan menampilkan 30 peratus calon muka baru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan tidak akan menampilkan 'calon payung terjun'.
Setiausaha BN Johor Datuk Md Jais Sarday berkata tidak timbul soal calon 'payung terjun' kerana perbincangan mengenai calon yang akan diketengahkan sudah dibincangkan sejak setahun lepas.
"Kita mengambil kira pandangan daripada parti-parti komponen. Mereka mencadangkan nama awal dengan mengemukakan tiga nama untuk satu kerusi.
"Kemungkinan calon itu bukan orang yang ada jawatan dalam parti tetapi yang penting dia (calon) disukai ramai dan boleh menang. Jadi, tidak timbul soal calon 'parachute'," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama wakil media Johor di sini hari ini.
Md Jais berkata pemilihan calon juga diperhalusi pelbagai pihak termasuk maklum balas daripada orang ramai.
Menurutnya, gerak kerja jentera BN juga lebih tersusun pada pilihan raya kali ini berbanding pilihan raya umum terdahulu.
"Semua jentera parti pada PRU-14 ini bergerak dalam sebuah pasukan berbanding ikut parti masing-masing pada PRU sebelum ini," katanya.
Menurut Md Jais, terdapat juga beberapa calon yang meminta tidak disenaraikan untuk bertanding semula bagi memberi laluan kepada orang baru, namun, BN Johor meminta mereka bertanding atas beberapa faktor yang diyakini dapat menawan hati pengundi.
-- BERNAMA