Bomba periksa keselamatan kebakaran di pusat mengundi, pusat pengiraan undi
PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran di kesemua pusat mengundi dan pusat pengiraan undi yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim.
Beliau berkata pemeriksaan yang dilakukan adalah berkaitan sistem keselamatan kebakaran dan laluan keluar di pusat mengundi dan tempat pengiraan undi.
"Kita membuat pemeriksaan sebaik sahaja menerima senarai tersebut daripada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di ibu pejabat JBPM di sini hari ini.
SPR dilaporkan berkata sebanyak 8,989 premis bangunan akan dijadikan pusat mengundi melibatkan 28,995 tempat mengundi pada PRU14.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.
Wan Mohd Nor berkata JPBM sudah dalam keadaan siap-sedia untuk menghadapi PRU14 sehinggalah seminggu selepas hari mengundi.
Beliau berkata arahan sudah dikeluarkan supaya cuti 10,000 anggota dan pegawai JBPM dibekukan mulai hari penamaan calon sehingga seminggu selepas PRU14.
Turut diadakan pada perhimpunan bulanan JBPM hari ini ialah penganugerahan pingat kebesaran JBPM di mana Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda menerima pingat Ketua Pengarah Bomba.
Pada majlis hari ini juga, Wan Mohd Nor melancarkan program pertanian bandar, melibatkan penanaman sayur di ruang kosong yang ada di balai bomba di seluruh negara oleh warga JBPM yang berkelapangan.
-- BERNAMA