PRU14: Kongres mohon pertimbangan cuti ganti 10 Mei




KUANTAN, 12 April (Bernama) -- Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (Kongres) memohon Kementerian Pendidikan mempertimbang agar sekolah yang terlibat dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diberikan cuti ganti pada keesokannya.

Presiden Kongres Datuk Mohd Sabri Mohd Arshad berkata ini kerana sebahagian guru yang dilantik sebagai petugas pilihan raya perlu bertugas lebih awal untuk meninjau dan mengemas bilik darjah serta dewan yang digunakan sebagai pusat mengundi.

Selain itu,ada guru yang akan bertugas di pusat penjumlahan undi sehingga lewat malam pada hari pengundian iaitu pada 9 Mei depan.

"Terdapat kira-kira 6,000 sekolah terlibat sebagai pusat pembuangan undi di seluruh negara. Pihak sekolah memerlukan cuti berganti bukan sahaja melibatkan hari kejadian malah sehari selepas pengundian, iaitu 10 Mei.

"Banyak tugasan yang mereka (guru) perlu lakukan seperti memastikan bilik dan dewan terlibat dengan PRU14 dikemas semula sebelum kelas bermula pada keesokannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Mohd Sabri berkata cuti ganti itu juga bertujuan memberi tempoh rehat secukupnya kepada guru untuk memastikan mereka benar-benar cergas sebelum kembali mengajar.

-- BERNAMA