Manifesto BN Terengganu 'Masa Hadapan, Kita Bina Bersama'

KUALA BERANG, 12 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang diumumkan hari ini menawarkan lima teras akujanji bertemakan 'Masa Hadapan, Kita Bina Bersama'.
Memartabatkan agama Islam dan keharmonian beragama menjadi teras utama dalam manifesto tersebut selain meningkatkan usaha meringankan beban rakyat dan membina generasi TN50 ke arah revolusi industri 4.0.
BN turut bertekad memperkasa pendidikan sebagai asas kecemerlangan sumber manusia serta menyerlahkan lagi penglibatan aktif golongan wanita dalam pelbagai bidang.
Manifesto sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Hulu Terengganu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari dan hampir 20,000 jentera BN turut hadir.
Ahmad Razif yang juga pengerusi BN negeri berkata Terengganu terus mencipta kejayaan demi kejayaan di bawah kerajaan pimpinan BN, yang sentiasa komited dan beriltizam tinggi dalam memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat.
"Dari sekecil-kecil program sehingga sebesar-besar rancangan, pembangunan Terengganu adalah berpaksikan kepada rakyat, BN Terengganu dengan penuh keinsafan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala kejayaan yang telah dicapai dan perancangan masa hadapan yang telah direncana," katanya.
Tambahnya rakyat Terengganu perlu memilih BN berikutan kejayaan yang telah dicapai dan pemimpinnya yang sentiasa istiqomah dalam menjaga maqasid syariah, rekod pentadbiran dan kepimpinan yang baik, berpengalaman mengurus tadbir dan bersungguh dalam membantu rakyat.
Selain itu BN Terengganu turut menawarkan 20 manifesto tambahan yang memberi kelebihan kepada golongan muda terutama dalam bidang pekerjaan dan sukan.
Akujanji tambahan tersebut ialah mewujudkan 40,000 peluaang pekerjaan, membina tambahan 20,000 unit rumah mampu milik, mewujudkan onestop center (JobsTerengganu), mewujudkan pelan strategik revolusi industri 4.0 untuk generasi TN50 dan menjadikan sukan bermotor dan e-sports sebagai sukan berimpak tinggi.
Turut disenaraikan ialah mewujudkan pusat pemindahan banjir bersepadu di setiap daerah; meluaskan rangkaian pengangkutan awam di kawasan tumpuan ramai; mewujudkan sekolah rendah Imtiaz (Seri); mewujudkan pusat hemodialisis di setiap daerah; menurunkan bayaran tol LPT2 sebanyak 50 peratus secara berperingkat dan membina rumah-rumah PPR di setiap daerah.
Terdapat juga akujanji untuk menukar status rumah PPR daripada sewa kepada sewa beli; membina LPT3; memperluaskan bantuan program transformasi gerai untuk penjaja kecil dan usahawan mikro; memperkasa pusat pengajian agama harian untuk golongan dewasa setiap daerah dan memperkenalkan kad harga patut kepada mereka dalam senarai e-kasih, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan anak yatim.
Memperluaskan program jualan sentuhan rakyat ke semua daerah turut ditawarkan selain memastikan peluang pekerjaan dan perniagaan mengutamakan rakyat Terengganu dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL); meningatkan penglibatan golongan wanita yang berkelayakan dalam pentadbiran kerajaan dan GLC dan mewujudkan Pusat Tahfiz Darul Iman di setiap daerah.
-- BERNAMA