Guna satu logo bukan isu besar buat penyokong BN




SLIM RIVER, 12 April (Bernama) -- Penggunaan logo satu parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan isu besar kepada penyokong Barisan Nasional (BN), sebaliknya tindakan itu hanya akan mengelirukan penyokong pembangkang itu sendiri, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Tanjung Malim Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.

Menurut beliau, keputusan Pakatan Harapan (PH) supaya empat parti dalam gabungan itu - PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - menggunakan satu logo iaitu PKR hanya akan mendatangkan kekeliruan buat mereka yang bukan daripada kalangan penyokong kerana tidak tahu parti pembangkang yang mana bertanding.

Berikutan itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim tersebut berkata tidak ada masalah buat penyokong BN dengan tindakan berkenaan dan berharap pengundi juga tidak terpengaruh dan bijak menilai gimik pembangkang untuk mengelirukan rakyat.

"Bagi BN kita tidak keliru kerana lambang biru tua dan lambang dacing yang merupakan fokus kita. lambang-lambang lain kita tidak ambil peduli.

Bagi pihak penyokong pembangkang, sudah pastinya lambang itu penting buat mereka kerana sebelum ini (dalam PRU sebelumnya) mereka bertanding di bawah bendera masing-masing. Saya percaya akan berlaku kekeliruan (penyokong pembangkang) apabila satu lambang digunakan.

"Adakah lambang-lambang ini akan benar-benar mewakili kepentingan parti dan juga mereka sebagai ahli parti lain?," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Pembangunan Rumah Idaman Rakyat sebanyak 454 unit di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini hari ini.

-- BERNAMA