Lawas dan Limbang akan kekal milik BN - Awang Tengah
LAWAS 12 April (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkeyakinan penuh kerusi Parlimen Lawas dan Limbang akan kekal milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) itu berkata berdasarkan keputusan pilihan raya negeri 2016, kedua-dua kerusi tersebut adalah kubu kuat BN.
"Pada pilihan raya tersebut, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Sari di bawah Parlimen Lawas dan Bukit Kota di bawah Parlimen Limbang menang tanpa bertanding, " katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya Parlimen Lawas, di sini hari ini.
Ini katanya membuktikan kekuatan BN di kedua-dua kawasan tersebut sehinggakan pembangkang enggan bertanding pada pilihan raya negeri yang lalu.
Lawas dan Limbang masing-masing disandang oleh PBB.
Kawasan Lawas disandang Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong, 72, yang mewakili kerusi itu sejak 1999 manakala Limbang pula diwakili Hasbi Habibollah, 55 sejak 2008.
Mengenai PRU14, Awang Tengah berkata komitmen kerajaan BN terhadap Sarawak khususnya daerah Lawas dibuktikan menerusi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Lawas dalam manifesto BN yang diumumkan pada 7 April lepas.
Beliau berkata manifesto tersebut membuktikan sekali lagi komitmen BN pusat untuk membangunkan Sarawak dan Sabah seiring dengan Semenanjung.
Menurutnya keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dibuktikan menerusi 60 lawatan beliau melibatkan 160 program di pelbagai kawasan di Sarawak sepanjang sembilan tahun menjadi perdana menteri.
Awang Tengah berkata projek Lebuhraya Pan Borneo yang kini rancak dilaksanakan dari Kuching ke Miri akan turut melibatkan jalan raya di Limbang dan Lawas.
--BERNAMA