Logo PKR hanya untuk kaburi pengundi
MARAN, 12 April (Bernama) -- Tindakan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) disifatkan hanya bertujuan mengaburi pengundi khususnya dari kawasan luar bandar.
Timbalan Ketua UMNO Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata tindakan itu juga bagi menarik undi Melayu memandangkan DAP yang merupakan sebahagian daripada PH, kurang mendapat sokongan masyarakat Melayu.
"DAP akan ditolak oleh pengundi Melayu di kawasan luar bandar dan Felda, jadi kali ini mereka melihat peluang menggunakan logo PKR sebagai faedah kepada mereka untuk meraih undi Melayu khususnya di pedalaman.
"Saya berharap pengundi di luar bandar dan juga kawasan tanah rancangan Felda tidak tertipu dengan taktik yang digunakkan pakatan ini kerana akhirnya ia akan menguntungkan sebelah pihak sahaja," katanya.
Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Pahang 2018 di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 3 di sini, hari ini.
Beliau berkata tindakan pembangkang itu juga menunjukkan bahawa mereka tidak boleh meniru cara Barisan Nasional yang dapat mencapai persefahaman berhubung penggunaan bendera dan logo meskipun mempunyai banyak parti komponen.
Pada Sabtu lalu, Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan mereka akan menggunakan logo PKR pada PRU14 yang dijadualkan pada 9 Mei depan.
-- BERNAMA