Sebuah UTC perlu diwujudkan di Bandar Taiping




TAIPING, 12 April (Bernama) -- Sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) perlu diwujudkan di bandar Taiping bagi memenuhi permintaan penduduk disamping memudahkan mereka berurusan dengan pelbagai jabatan kerajaan.

Ketua Pemuda Gerakan Pusat Tan Keng Liang berkata beliau akan kemukakan permohonan untuk menubuhkan UTC kepada kerajaan dalam usaha mengembalikan hala tuju kegemilangan bandar ini sejak 10 tahun Parlimen Taiping dikuasai pembangkang.

Katanya, pelbagai jabatan kerajaan boleh ditempatkan di UTC seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran, Jabatan Imigresen dan sebagainya.

"Kita mahu majukan Taiping dan kita mahu mendapatkan pandangan masyarakat di sini apa yang mereka mahukan bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sejak kerusi Parlimen Taiping diwakili pembangkang, tiada sebarang pembangunan yang dilaksanakan mereka untuk kepentingan penduduk di kawasan itu.

Tan berkata pihaknya telah mewujudkan laman Facebook untuk penduduk di sini mengemukakan pandangan mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Saya sudah mendapat beberapa pandangan yang disuarakan penduduk di sini termasuk permintaan tempat meletak kereta di Pokok Assam dan beberapa kemudahan lain jika Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum ke-14, katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13, DAP menerusi Nga Kor Ming menewaskan Datuk Tan Lian Hoe daripada BN dengan majoriti 11,745.

-- BERNAMA