Penang Forum bentuk Agenda 2018 untuk wakil rakyat yang baru dipilih




GEORGE TOWN, 12 April (Bernama) -- Penang Forum, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini telah membentuk Agenda Forum Pulau Pinang 2018 bagi wakil rakyat yang baru dipilih untuk bertindak dan berkhidmat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Pulau Pinang Datuk Dr. Anwar Fazal berkata agenda itu yang mengandungi 40 cadangan dan 20 laporan, memfokuskan kepada tiga prinsip utama - tadbir urus yang baik, inklusif sosial dan pembangunan mampan.

"Cadangan itu termasuk segera mewartakan Rancangan Tempatan dengan penyertaan awam sepenuhnya, mengutamakan pengangkutan awam yang boleh diakses dan bersepadu, menghentikan perjanjian pertukaran tanah dalam penambakan tanah, menetapkan tanah yang ditebus guna kepada status pegangan pajakan dan menghentikan mewujudkan pulau buatan," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata agenda mengandungi 64 muka surat itu akan diedarkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan setiap bakal calon PRU14 di Pulau Pinang.

Beliau juga menggalakkan calon-calon _PRU14 menggunakan idea yang terkandung dalam agenda itu sebagai rujukan untuk membincangkan isu dan mencabar idea-idea ini antara satu sama lain untuk menghasilkan idea dan penyelesaian yang konstruktif.

Pada Selasa, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon dan 9 Mei sebagai hari mengundi pada PRU14 sementara pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei.

Sementara itu, Ben Wismen setiausaha kehormat Penang Heritage Trust (PHT) iaitu sebuah lagi NGO, berkata perlu ada keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar.

"Kita bukan mencadangkan supaya kita menghentikan semua pembangunan tetapi apa yang kita memperjuangkan di sini ialah mencari alternatif untuk membangunkan, bukan sahaja pembangunan yang dapat mengekalkan alam sekitar tetapi juga mewujudkan kecekapan untuk rakyat, " kata beliau.

Wismen berkata jika Pulau Pinang dapat mengutamakan pengangkutan awam bersepadu yang boleh diakses dan pelaksanaan lorong bas, ini akan mewujudkan sistem yang cekap untuk rakyat.

Beliau menambah bahawea Pulau Pinang memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan bersepadu tanpa perlu banyak lebuh raya.

-- BERNAMA