PRU14: Lima Akujanji Wanita BN Sarawak Pastikan Kemenangan





KOTA SAMARAHAN, 12 April (Bernama) -- Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini menzahirkan lima akujanji bagi memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Wanita BN Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata antara akujanji itu adalah bekerja sebagai satu pasukan padu dalam BN yang saling melengkapi dan menyokong demi kemenangan bergaya.

Selain itu, Wanita BN berganding bahu dan bekerjasama dengan Pemuda dan Badan Induk untuk memastikan 25 kerusi yang dimenangi dalam PRU 13 kekal dan dipertahankan selain empat lagi kerusi ditawan agar sasaran 29/31 kerusi Parlimen di Sarawak menjadi milik BN.

"Kami juga akan menjejaki pengundi dan mengkaji sikap mereka melalui Jalinan Rakyat Plus (JR+) supaya perkhidmatan yang diberikan menepati kehendak dan memenuhi aspirasi rakyat serta turun padang untuk memberi khidmat bakti dan menambat hati rakyat.

"Akujanji terakhir adalah terus berusaha menyalakan obor keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan BN supaya semangat wanita terus semarak dan memberi sinar harapan kepada satu hasrat dan satu matlamat iaitu semua calon BN termasuk pejuang wanita menang bergaya," katanya di sini, hari ini.

--BERNAMA