Seorang calon wanita BN disahkan bertanding di Terengganu




KUALA BERANG, 12 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini mengesahkan seorang calon wanita akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata siapa dan di mana kawasan calon tersebut akan bertanding masih dirahsiakan sehinggalah pengumuman rasmi dibuat.

Katanya, keputusan itu sebagai menghargai perjuangan wanita dan ia telah mendapat persetujuan daripada pihak kepimpinan pusat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran manifesto BN Terengganu dan jentera pilihan raya Parlimen Hulu Terengganu yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi manifesto BN Terengganu, terdapat lima teras akujanji yang bertemakan 'Masa Hadapan Kita Bina Bersama' yang turut menyenaraikan penglibatan aktif golongan wanita dalam pelbagai bidang.

-- BERNAMA