Naib Ketua UMNO PJ Selatan nafi hulur bantuan untuk undi
PETALING JAYA, 12 April (Bernama) -- Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim terkilan dengan dakwaan di media sosial bahawa tindakan beliau membantu mangsa kebakaran sebuah bengkel hanyalah semata-mata untuk menjadi calon pilihan raya dan meraih undi.
Penolong Koordinator Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan itu turut kecewa apabila mangsa yang dibantu dikatakan warga asing sedangkan yang dibantu adalah warga Malaysia.
"Sebagai pemimpin masyarakat, saya cuma membantu. Namun saya sedih dan terkilan dengan fitnah yang dibuat terhadap saya menyatakan saya membantu warga Bangladesh untuk meraih undi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini berhubung fitnah terhadapnya itu.
Abdul Mutalif berkata berkata kejadian kebakaran yang dimaksudkan itu berlaku pada 8 pagi 9 April di sebuah bengkel motosikal di Taman Medan dan beliau turun untuk membantu keesokan hari selepas diberitahu sepupu mangsa mengenai kejadian berkenaan.
Semalam, beliau terkejut apabila mendapati namanya diburuk-burukkan dan sebuah video ditularkan di laman sosial menyatakan beliau memberi bantuan demi meraih undi.
Abdul Mutalif berkata mangsa kebakaran, Azmi Abdul Malik, 41, adalah warga Malaysia dan kini menjadi mangsa politik kerana turut dihina berikutan video yang ditularkan itu.
Katanya Azmi yang mempunyai tiga anak berdepan dengan situasi sukar dan kehidupan keluarganya amat menyedihkan kerana dua anaknya mempunyai masalah kesihatan.
Anak yang berumur 11 tahun adalah pesakit diabetes dan seorang lagi anaknya berumur lima bulan mempunyai masalah jantung, katanya.
Abdul Mutalif mendakwa perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan beberapa pemilik akaun Facebook yang menggesa orang ramai berkongsi video bertajuk "please viral this video so that this idiot is famous". (tolong tularkan video ini agar si bodoh ini terkenal)
Beliau turut meminta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat fitnah dan sengaja menghuru-harakan keadaan menjelang pilihan raya umum ke-14.
Abdul Mutalif mendakwa beliau menjadi mangsa berikutan ura-ura yang menyatakan beliau adalah bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Taman Medan.
Sementara itu, Azmi yang turut hadir, menyuarakan kekesalan kerana dijadikan mangsa politik.
"Saya cukup terkilan dengan budaya dan cara pemikiran rakyat. Kalau tidak boleh membantu jangan sesekali memburukkan saya dan keluarga, " katanya.
-- BERNAMA