Kerajaan bakal bina loji air baharu untuk penduduk Lanchang
TEMERLOH, 12 April (Bernama) -- Kerajaan bakal membina sebuah loji rawatan air moden bernilai RM100 juta di Lanchang bagi menyelesaikan gangguan bekalan air di kawasan tersebut.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata pembinaan loji rawatan di Kampung Mempateh itu sebagai pelan jangka masa panjang bagi mengatasi gangguan bekalan air yang berlaku akibat tekanan rendah.
Menurutnya, penduduk Lanchang sebelum ini menerima bekalan air terawat dari loji bekalan air Mempateh dan sebahagian kawasan lain masih mendapat bekalan air daripada loji bekalan Lubuk Kawah yang mempunyai jarak laluan sejauh 40 kilometer.
"Keadaan itu menyebabkan tekanan air ke kawasan tinggi tidak sampai kepada pengguna dan sehubungan itu, loji baharu amat diperlukan bagi menampung jumlah penduduk yang dijangka bertambah apabila hab perabot negara di Kampung Sempadan dibuka tidak lama lagi.
"Loji baharu itu nanti mampu menampung keperluan 6,000 akaun pengguna di Lanchang, Mentakab dan kawasan perumahan baharu selain dua tanah rancangan Felda berhampiran," katanya ketika ditemui selepas program Moh Ngeteh bersama kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Temerloh di sini hari ini.
Mohd Sharkar berkata bagi menyelesaikan isu sama dalam tempoh segera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menyediakan peruntukan khas berjumlah RM614,000 untuk memasang pam penggalak di 'black spot' sekitar Lanchang bagi menangani tekanan rendah.
"Gangguan bekalan air di Temerloh sebelum ini apabila berlaku kejadian paip pecah, ini yang mengambil masa untuk dibaik pulih namun kebiasaannya Paip berjaya mengatasinya dengan menghantar lori tangki ke kawasan yang terputus bekalan," katanya.
-- BERNAMA