PRU14: Manifesto BN Terengganu terbaik pernah ditawarkan - Rakyat

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) melancarkan Manifesto BN Terengganu sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini. Turut hadir Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua, kanan) dan timbalannya Datuk Seri Jailani Johari.
KUALA BERANG, 12 April -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu yang diumumkan hari ini oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dianggap antara aku janji terbaik yang ditawarkan BN kepada rakyat negeri ini.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengundi menyambut baik manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan ia dilihat sebagai aku janji yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Mohammad Mat Zain, 56, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan dan Keselamatan Kampung (J3K) Kampung Pelandan, Hulu Terengganu menyifatkan ia sebagai satu manifesto yang bersifat realistik dan tidak hanya untuk sekadar menabur janji semata-semata.
"Ini boleh dilihat berdasarkan 20 manifesto yang dibentang tadi, ia merangkumi pelbagai lapisan masyarakat dan antara yang menarik bagi saya adalah jika BN dapat mengekalkan kemenangan di Terengganu, mereka akan memperkasakan pusat pengajian agama harian untuk golongan dewasa di setiap daerah.
"Ia mungkin nampak kecil tapi sebenarnya perkara ini adalah satu keperluan sebab kebiasaannya golongan dewasa ini, mereka tiada tempat yang khusus untuk mereka pergi belajar al-Quran dan agama.
"Bukan semua orang tua boleh mengaji dan saya rasa ia satu langkah terbaik kerajaan memperkasakan tempat ini. Sekurang-kurangnya kami ada tempat yang formal untuk belajar agama," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Majlis pelancaran Manifesto BN Terengganu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas Timbalan Presiden.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Seri Jailani Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong dan barisan kepimpinan UMNO Negeri Terengganu.
Antara manifesto BN yang dirangka untuk PRU14 adalah pertama mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan, kedua membina tambahan 20,000 unit rumah mampu milik, tiga menurunkan bayaran tol Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak 50 peratus secara berperingkat dan memperkenalkan kad harga patut kepada penerima e-kasih, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan anak yatim.
Suri rumah, Latifah Abd Rahman, 51, dari Ajil berkata manifesto BN Terengganu memperkenalkan Kad Harga Patut itu diibaratkan satu hadiah jika ia dilaksanakan kelak sekiranya BN kekal mentadbir Terengganu.
"Kad berkenaan jika dibuat memang amat membantu rakyat terutamanya orang yang mempunyai pendapatan agak rendah dan sudah tentu ia akan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya.
Pekerja swasta, Asbullah Abu Bakar, 29, berkata tindakan kerajaan yang akan menurunkan bayaran tol LPT2 sebanyak 50 peratus sudah tentu menjadi khabar gembira bagi pengguna jalan raya yang sering menggunakan kemudahan tersebut.
"Bayangkan jika BN kekal mentadbir dan kadar tol dikurangkan, sudah tentu kos untuk bergerak akan semakin kurang terutamanya jika kita ingin ke pantai barat, semenanjung.
"Manifesto ini sememangnya amat membantu rakyat dan insya-Allah Terengganu akan kekal ditadbir oleh BN," katanya.
-- BERNAMA