Bekas wartawan umum tanding PRU14 di Temerloh

Pix kredit FB Khairdir Ahmad
TEMERLOH, 13 April (Bernama) - Bekas wartawan penyiaran stesyen televisyen TV3 yang kini bergerak aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar, Mohd Khaidir Ahmad hari ini mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket bebas.
Mohd Khaidir 56, yang juga Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) berkata, beliau akan bertanding bagi kerusi Parlimen Temerloh dan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan yang sama.
"Keputusan itu dibuat selepas berfikir sedalam-dalamnya bagi memperjuangkan isu alam sekitar. Saya memilih bebas kerana tidak ada lagi mana-mana parti politik yang berani menyuarakan isu alam sekitar di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama ini.
"Jadi saya memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Temerloh tetapi masih memikirkan sama ada akan bertanding di DUN Lanchang atau Kuala Semantan.
"Asalnya saya mahu bertanding di Kuala Semantan tetapi selepas persempadanan semula kawasan kediaman saya berubah masuk ke dalam DUN Lanchang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mohd Khaidir sebelum itu turut memuat naik status di akaun Facebooknya menyatakan telahpun mengambil borang pencalonan untuk bertanding di kawasan parlimen dan DUN di Pejabat Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR), Kuantan hari ini.
Beliau yang juga bekas ketua Pengarang Berita TV3 dalam status itu antara lain menyatakan walaupun tidak mempunyai banyak wang untuk meraih undi , namun berharap kuasa Allah akan membantunya membawa suara rakyat berkaitan alam sekitar ke gelanggang yang lebih besar.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Mohd Khaidir melahirkan keyakinan mampu meraih keputusan yang baik berdasarkan sokongan ramai pengikutnya di laman sosial dan juga di luar.
Katanya, beliau membelanjakan wang deposit dan kempen sebanyak RM23,000 untuk PRU14 ini dan menyambut baik jika ada mana-mana pihak termasuk rakan yang mengenalinya sanggup tampil memberikan sokongan moral dan kewangan.
-- BERNAMA