Pelan defisit fiskal tidak terjejas oleh pembayaran tambahan BR1M




File Bernama

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Penambahan bayaran tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak menjejaskan usaha kerajaan untuk mencatat defisit fiskal 2.8 peratus pada 2018.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pembayaran tambahan BR1M diperoleh menerusi pengukuhan harga minyak, yang meningkat kepada US$67 setong berbanding US$52 setong semasa Bajet 2018 dibentangkan pada Oktober lepas.

"Kami memutuskan untuk memberi BR1M disebabkan negara mempunyai pendapatan lebih berdasarkan kedudukan harga minyak semasa, lebih daripada yang dibentangkan dalam bajet pada Oktober. Oleh itu kami akan pulangkan semula kepada rakyat, iaitu penerima BR1M, dan mereka dalam kumpulan pendapatan antara RM4,000 dan RM5,000," katanya selepas menghadiri majlis kesyukuran Projek Baiti Jannati anjuran Tenaga Nasional Bhd di sini hari ini.

Projek Baiti Jannati ialah program tanggungjawab sosial korporat TNB yang bermatlamat meningkatkan taraf hidup kumpulan berpendapatan rendah dan mereka yang kurang bernasib baik.

CIMB Investment Bank sebelum ini berkata bayaran tambahan BR1M itu berjumlah RM3.71 bilion atau 0.25 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun ini.

Sementara itu, mengulas mengenai semakan semula unjuran Bank Dunia ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus bagi 2018, Johari berkata ini membuktikan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dan nilai ringgit turut meningkat.

"Namun, pertumbuhan ekonomi Malaysia masih tertakluk kepada faktor luaran. Setakat ini saya tidak nampak sebarang impak daripadanya (perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China). Bagaimanapun, suka atau tidak Malaysia merupakan sebuah negara kecil dan tertakluk kepadanya, Kami akan mencari strategi untuk menanganinya," kata Johari.

-- BERNAMA