Masyarakat Siam Perlis tiada sebab tolak BN - Pemimpin setempat





ARAU, 13 April (Bernama) -- Masyarakat Siam di Perlis tidak mempunyai sebab untuk menolak Barisan Nasional (BN) memandangkan mereka tidak pernah tersisih dalam sebarang pengagihan bantuan oleh kerajaan BN, kata seorang pemimpin komuniti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Behor Gelam, Goh Kim Ting @ Urai berkata walaupun hanya terdapat kira-kira 7,000 penduduk berketurunan Siam di negeri itu, keperluan mereka tetap diberi perhatian oleh kerajaan pimpinan BN.

"Dalam aspek keagamaan misalnya, pelbagai bantuan disalurkan kepada wat-wat Siam yang ada di Perlis dan banyak aktiviti diadakan di kawasan wat ini agar mudah untuk kami berkumpul dan kami sangat berpuas hati," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Katanya hampir semua kampung-kampung Siam di Perlis mempunyai wat sendiri seperti di Jejawi, Guar Musang, Kubang Tiga, Behor Gelam, Padang Jelutong dan Guar Nangka.

Selain itu katanya jika ada sebarang agihan sumbangan oleh kerajaan negeri seperti bantuan persekolahan, makanan dan pakaian kepada anak-anak yatim, warga emas serta ibu tunggal, masyarakat Siam tidak dilupakan.

"Saya berharap masyarakat Siam di negeri ini dapat membantu mengekalkan kerajaan BN memerintah negeri dan negara agar terus mendapat perhatian sewajarnya," ujarnya.

-- BERNAMA