Habuan pilihan raya kekalkan pertumbuhan perbelanjaan pengguna hingga suku ketiga 2018




KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Maybank IB Research mengunjurkan momentum pertumbuhan perbelanjaan pengguna Malaysia akan terus kekal sehingga suku ketiga tahun ini (3Q18) susulan pengumuman 'habuan tambahan' kepada pengguna.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank itu berkata pertumbuhan indeks perdagangan runcit kekal melepasi lapan peratus buat bulan kelima berturut-turut, dengan pertumbuhan 8.1 peratus tahun ke tahun (Februari).

Ia berkata pertumbuhan 8.3 peratus bagi tempoh Januari-Februari 2018 menunjukkan momentum pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang stabil pada awal 2018, yang kini dijangkakan berterusan sehingga 3Q18.

Momentum pertumbuhan perbelanjaan pengguna pada awal 2018 disokong oleh langkah Bajet 2018, terutama pembayaran dua pertiga bonus untuk penjawat awam yang diumumkan pada Januari 2018, dan fasa pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada Februari-Mac 2018.

"Pengurangan dua angka peratusan dalam kadar cukai pendapatan individu, akan mengimbangi kesan kenaikan 25 mata asas Bank Negara Malaysia bagi kadar dasar semalaman, selain sumbangan bulanan pekerja kepada dana pencen yang kembali kepada 11 peratus daripada gaji kasar pada Januari 2018," katanya.

Ketika Malaysia berhadapan pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, Maybank IB berkata, penjawat awam akan mendapat kenaikan gaji tambahan berjumlah RM1.46 bilion berkuat kuasa 1 Julai 2018.

"Program pemberian tunai tahun ini kepada kumpulan pertengahan dan berpendapatan rendah (BR1M) juga meningkat dan diperluas, di mana jumlah BR1M untuk kategori penerima semasa akan mendapat tambahan RM150-RM800, atau peningkatan 33- 67 peratus.

"Kategori baharu penerima BR1M diperkenalkan bagi isi rumah dengan pendapatan antara RM4,000 dan RM5,000, yang akan menerima bantuan tunai sebanyak RM700," katanya.

Di samping itu, bank itu berkata,peneroka Felda pula akan memperoleh insentif tunai RM5,000 dan bantuan khas sekali sebanyak RM600 kepada pesara tentera yang bukan penerima BR1M.

"Berdasarkan perkembangan terbaharu ini yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna dan merangsang perbelanjaan pengguna, unjuran pertumbuhan penggunaan swasta dan keluaran dalam negara aklsar sebenar kami dinaikkan masing-masing sebanyak 6.5 peratus dan 5.3 peratus," kata bank itu.

-- BERNAMA