Majoriti calon UMNO P. Pinang kekal yang sedia ada dan berpengalaman




NIBONG TEBAL,13 April (Bernama) -- Majoriti calon-calon UMNO Pulau Pinang yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah kekal dalam kalangan anggota parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pengekalan anggota parlimen dan ADUN sedia ada itu adalah berdasarkan rekod pengalaman serta khidmat yang telah diberikan wakil rakyat berkenaan kepada masyarakat.

"Boleh saya katakan kebanyakan anggota parlimen dan ADUN sedia ada ini dikekalkan. Majoriti anggota parlimen dan ADUN ini kita kekalkan kerana kita hendak berpegang kepada khidmat mereka, pengalaman mereka untuk memberi kekuatan kepada UMNO dan BN," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata faktor pengalaman juga menjadi nadi penting calon-calon UMNO negeri ini bagi memastikan parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) terus mencapai kemenangan.

"Kami akan lebih berpegang kepada pengalaman, kami mahu pastikan calon-calon daripada UMNO Pulau Pinang adalah mereka-mereka yang berpengalaman. Dalam keadaan senario politik sekarang, kami sedar mereka-mereka yang telah dikenali, berpengalaman amat penting," katanya.

Zainal Abidin berkata bagaimanapun kebanyakan calon parti-parti komponen iaitu MCA, MIC dan Gerakan adalah muka baharu kerana mereka mewakili kawasan-kawasan yang kalah.

"Jadi kalau kawasan kalah ini kita letak muka lama juga sudah tentu tidak ada pembaharuan, jadi untuk kawasan-kawasan yang kami dah kalah sebelum ini kami letak muka baharu? di kawasan yang kami menang kami tengok wakil rakyatnya bagus berkhidmat, bagus prestasinya dan memberi khidmat yang baik kepada masyarakat kami kekalkan. Lebih kurang begitulah formula kami, saya tak boleh cerita lebih tunggu pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu," katanya.

Sementara itu berhubung pengumumannya semalam untuk tidak bertanding pada PRU14, Zainal Abidin berkata keputusan tersebut bukan dibuat dalam tempoh yang singkat dan tergesa-gesa, tetapi mengambil masa dua tahun.

"Saya harap hasrat saya (tidak bertanding) tidak mengejutkan kerana saya terima banyak pertanyaan. Hasrat ini telah saya bincang dua tahun dulu dengan perdana menteri dan bukan perkara mudah untuk kita mengundur diri, untuk tidak bertanding ini bukan boleh dibuat dalam masa 24 jam atau dalam masa satu,dua bulan tetapi perancangan teliti untuk perkara-perkara strategik telah saya maklumkan kepada perdana menteri hampir dua tahun dahulu cuma saya tak boleh umum awal. Jika umum awal lagi banyak masalah akan timbul," katanya.

Zainal Abidin menegaskan apa yang penting dalam politik ialah memastikan parti memperoleh kemenangan dan bukannya untuk mengejar cita-cita atau keinginan sendiri.

"Yang penting ialah parti...kami hanyalah individu-individu yang akan menegakkan kebenaran, memenangkan parti kami dan yang paling indah ialah apabila parti mencapai kemenangan? Itu akan mengatasi segala-galanya dalam hidup," katanya.

Zainal Abidin berkata beliau sudah menyediakan satu pasukan terbaik dianggotai lima calon anggota parlimen berwibawa serta 15 calon ADUN yang berpengalaman.

"Saya yakin pasukan saya di Pulau Pinang adalah pasukan yang baik dan diterima oleh rakyat kerana kesemua 20 calon ini punya rekod (yang baik), tiada seorangpun yang kita ketengahkan ini tidak mempunyai pengalaman atau tidak mempunyai rekod khidmat dengan masyarakat.

"Mereka telah berkhidmat dengan masyarakat dengan tempoh yang sesuai dan agak lama. Kami juga ketengahkan muka-muka baharu dan orang muda yang bukan tiba-tiba datang dari mana-mana sebaliknya mereka ini telah menjalankan khidmat sebagai anggota Pemuda, Wanita dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA