Jentera wanita MCA digerakkan bantu calon BN PRU14




Datuk Heng Seai Kie (Gambar fail Bernama)

GOPENG, 13 April (Bernama) -- Jentera Wanita MCA di kesemua 191 bahagian di seluruh negara digerakkan untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie berkata jentera wanita MCA melalui program Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) turut menjalankan kajian sikap serta pelbagai program untuk mendekatkan calon dan pengundi untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Selain itu, beliau berkata sifat semula jadi wanita yang lemah lembut, sopan santun, sabar dan penyayang akan menjadi perayu undi menjelang PRU14 ini.

"Kami berharap melalui program dan inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan pengundi terhadap semua calon BN untuk memberi mandat kepada calon BN pada PRU14."

"Pergerakan Wanita MCA di semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bantu memenangkan semua calon BN," katanya pada sidang media berhubung program Expo Kerjaya Wanita Perak sempena Tahun Memperkasakan Wanita di sini hari ini.

Bagi kerusi Parlimen Gopeng, Heng berkata MCA yang membuat persediaan sejak awal, kini tiba masa untuk merumuskan semua persediaan dan usaha parti itu.

"Kemenangan adalah terletak dalam tangan pengundi. Walau bagaimanapun, kali ini, saya berharap pengundi memberi peluang kepada BN dan MCA untuk berkhidmat kepada mereka."

"Jelas selama 10 tahun banyak masalah dan isu terkumpul di sini dan ia perlu ditangani secepat mungkin demi kesejahteraan penduduk di sini," katanya.

Heng yang dikhabarkan akan bertanding di kerusi Parlimen Gopeng berkata manifesto untuk Gopeng termasuk menangani masalah banjir di kawasan itu yang sebanyak 30 kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir kilat.

Selain itu, beliau berkata MCA turut merangka pelbagai usaha dan inisiatif untuk menjadikan Gopeng sebagai satu daripada destinasi pelancongan semula jadi yang bersejarah agar dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan juga menjana pendapatan untuk penduduk tempatan.

Sementara itu, Heng berkata sebanyak 50 syarikat terlibat dalam Expo Kerja Wanita Perak yang akan diadakan di Dewan Fook Tat Chee, Ipoh untuk membantu lebih ramai penduduk di negeri ini, khususnya wanita untuk mendapat peluang pekerjaan selain membantu mereka yang berminat untuk menceburi perniagaan.

Selain itu, beliau berkata institusi dan pusat latihan akan menawarkan latihan teknikal dan vokasional serta penempatan kerja kepada wanita.

Beliau berkata dijangkakan 5,000 akan berkunjung ke expo dua hari itu.

-- BERNAMA