BN komited terhadap kebebasan beragama di negara ini - Salleh




Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Gambar fail Bernama)

KOTA BELUD. 13 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) sentiasa komited terhadap kebebasan agama di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, komitmen itu sejajar dengan Perjanjian Malaysia ketika Malaysia dibentuk yang menyebut kebebasan beragama itu diteruskan.

"Kerajaan (BN) akan sentiasa bersikap adil kepada semua pihak dan akan membantu, bukan sahaja rumah-rumah ibadat, tetapi juga akan melihat prasarana lain yang bersesuaian."

"Sudah tentulah, apabila kita mengatakan kebebasan beragama itu diutamakan, kita juga harus menentukan prasarana mereka selesa bagi mereka mengamalkan agama masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Setia Budi Pemimpin Gereja-gereja Kota Belud di sini hari ini.

Menurut Salleh, sebuah kerajaan seperti yang diterajui BN selama ini amat bertanggungjawab agar kebebasan beragama dipertahankan.

Majlis anjuran Majlis Gereja-Gereja Kota Belud (MGGKB) itu dihadiri kira-kira 70 pemimpin gereja seluruh daerah ini.

-- BERNAMA