Rakyat diingat tidak terjebak fitnah SLMA - Ahmad Zahid




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan penduduk setempat ketika tiba pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Tapak Pasar Malam Batu Tiga hari ini.

KLUANG, 13 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan taktik kejutan serangan di saat akhir (SLMA) oleh pembangkang pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata 'bom-bom fitnah' itu merupakan taktik bagi mengelirukan rakyat.

Justeru, beliau meminta rakyat supaya bersiap siaga meletakkan perisai untuk mengelak daripada menjadi mangsa pembohongan dan fitnah yang dimainkan pembangkang kali ini.

"Contohnya, sebelum ini pada pilihan raya umum lalu dikatakan 40,000 warga Bangladesh akan mengundi untuk BN. Mana mungkin....itulah serangan di saat akhir...kita jangan terjebak,?katanya berucap pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Batu 3, Jalan Mersing, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut merasmikan pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5, Penyampaian Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Daerah Kluang, Pelancaran Taman Tamadun Islam, Pelan Pembangunan Kampung Paya dan Dewan Masyarakat India.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha BN Johor merangkap penyandang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Md Jais Sarday.

Ditanya pemberita mengenai strategi BN bagi menangkis SLMA itu, Ahmad Zahid berkata ia bagaimanapun, tidak boleh diumumkan kerana merupakan strategi.

Beliau berkata kajian BN mendapati telah timbul kesedaran baharu dalam kalangan pengundi Cina dan India terhadap keperluan mempunyai wakil rakyat daripada BN kerana hanya mereka sahaja mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata ini terbukti hasil pencapaian 99.4 peratus dalam Manfesto PRU13.

"Hanya 0.6 peratus sahaja belum (dicapai)....ini bermakna dari segi politik, kita adalah parti politik cemerlang di negara ini, bukan macam di sesetengah negeri di mana 'pemimpin dapat air, rakyat dapat baldi'. Hendak mandi, minum pun susah," katanya. Sementara itu, Ahmad Zahid berpuas hati dengan persiapan jentera BN Johor di kesemua 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di negeri itu serta bersiap siaga menghadapi calon-calon 'heavyweight' daripada parti pembangkang.

Beliau juga meminta rakyat supaya tidak terjebak dengan berita palsu yang dikitar semula dan juga berita palsu baharu oleh pembangkang untuk menghasut dan menanamkan rasa kebencian terhadap calon BN.

Mengenai tindakan awal anggota BN di peringkat bahagian menolak calon berpotensi untuk disenaraikan pada PRU14, Ahmad Zahid berkata ia adalah lumrah politik dan BN sudah ada mekanisme bagi menangani perkara seperti itu.

-- BERNAMA