PRU14: PKR Perak bertanding lima Parlimen, 14 DUN




Sumber gambar: ms wikipedia.org

IPOH, 13 April (Bernama) -- PKR Perak akan bertanding bagi lima kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusinya Dr Muhammad Nur Manuty.

Katanya lima kerusi parlimen itu ialah Padang Rengas, Sungai Siput, Gopeng, Bagan Datuk dan Tanjung Malim manakala kerusi DUN pula melibatkan Kenering, Batu Kurau, Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Alor Pongsu, Chenderoh, Lintang, Hulu Kinta, Bukit Chandan, Tualang Sekah, Simpang Pulai, Teja, Sungai Manik dan Hutan Melintang.

"Kita telah bersiap sedia untuk memasuki PRU14 dan saya ingin melaporkan bahawa rundingan kerusi-kerusi dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan telah selesai," katanya pada sidang media selepas melancarkan jentera dan penyerahan bahan logistik PRU14 peringkat negeri di Pejabat PKR negeri di sini hari ini.

Muhammad Nur berkata pilihan raya kali ini akan melibatkan calon muda, baharu dan wanita yang akan diumumkan sebelum penamaan calon.

"Senarai calon kini dalam saringan akhir dan sedang dimuktamad di peringkat atas setelah mendapat mandat daripada peringkat pusat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.

Pada PRU13, Barisan Nasional menang 31 daripada 59 kerusi dalam DUN Perak, DAP 18 kerusi manakala PKR dan PAS masing-masing lima kerusi.

Pada PRU13 lalu, PKR bertanding bagi 10 kerusi Parlimen dan menang di Sungai Siput, Lumut dan Gopeng manakala bagi kerusi DUN, parti itu menang lima kerusi masing-masing Kuala Kurau, Kuala Sepetang, Simpang Pulai, Teja dan Hutan Melintang daripada 19 kerusi yang ditandingi.

-- BERNAMA